Sunday, June 19, 2011

Tuhan, kirimkan surat ini untuk abah


Assalamualaikum abah.


Moga abah sihat sejahtera di sana. Dulu ketika kecil aku selalu memanggilmu. Aku selalu berteriak hingga suara ini serak basah dan tak mampu lagi berteriak. Sekuat mana pun aku menangis abah tidak mungkin kembali. Aku hanya dapat menatap gambar abah di album dan purse aku. Kadang-kadang tersentuh dan timbul juga iri hati melihat kawan-kawan yang berjalan berdamping tangan dengan abah. Aku pernah juga merasa tapi itu 11 tahun yang dulu. 11 tahun yang buat aku tak pernah merasa erti kehidupan yang sebenar. Dan aku masih ingat soalan aku tuju ke mama.

Hingga suatu hari aku bertanya pada mama, "Dimana abahku, mama?"

Mama tersenyum padaku. Lalu mama menggendongku, dan membawaku ke halaman rumah. Sesampainya disana, mama berkata, ” Abah disana nak, tenang bersama Tuhan, ” ucapnya sambil menunjuk ke atas awan.

"Apa abah bekerja dengan Tuhan, mama?" tanyaku lagi.

Lagi-lagi mama hanya tersenyum, dan kali ini mama hanya menjawab dengan belaian lembutnya di kepalaku, mama mengecup keningku, lantas membiarkanku tetap ditempat sementara mama masuk kembali ke dalam rumah. Tak lama kemudian aku masuk ke dalam rumah, dan disana aku melihat mama sedang menangis. Aku bingung, tapi kemudian aku mengambil kesimpulan mungkin mama keletihan. Aku meninggalkan mama yang masih menangis.

Bagi aku kenangan itu sudah berakhir. Soalan itu tidak mungkin akan aku soalkan pada sesiapa kerana aku sudah pun ada jawapannya. Mungkin dulu aku tidak paham apa erti "pergi buat selamanya" tetapi kini tidak lagi.

11 tahun pemergianmu dikala aku sedang menuntut di darjah satu buat aku tidak mengenali erti kehidupan hakiki. Buat aku yang kini sedang meningkat remaja lebih banyak mempelajari pengalaman dan pengajaran. Apa pun yang telah berlaku, aku letakkan atas suratanmu ya Allah.

Abah, kepergian mu memang sangat memberi pengajaran untuk kami semua. Tapi 1 visi kita abah, suatu saat nanti aku janji abah, kita akan bertemu bersama di syurganya, suatu saat nanti kita akan kembali merasakan kenikmatan hidup. Suatu saat nanti juga kita akan tertawa kembali abah. Ketawa bersama abah. Dulu apabila disebut tentang abah aku mampu tersenyum tawa tetapi kini kini tidak lagi kerana aku hanya mampu mengalirkan air mata itu jatuh sahaja.

Walaupun tidak dapat diungkap dengan percakapan, aku utuskan surat ini untuk abah di atas sana. Semoga abah membacanya. Selamat Hari Ayah, abah. Kakak akan terus mendoakan abah agar terus kekal abadi di syurganya.

Apa yang dapat aku dapat lakukan untuk menebus rasa penyesalan aku ini, hanyalah doa dan amalan yang dapat aku berikan untuk membantu abah aku di alam kubur hingga hari perhitungan nanti.


Untuk abah tercinta, aku ingin berjumpa

Walau airmata di pipiku

Abah dengarkanlah, aku ingin bertemu

Walau hanya dalam mimpi…


4 comments: